Selasa, 27 Oktober 2015

Jerebu

     Jerebu ialah satu fenomena atmosfera di mana debu, habuk, asap dan lain-lain zarah mencemar kejelasan langit. Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah habuk, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah-zarah kecil ini berkumpul di paras rendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan. Ini berlaku apabila keadaam cuaca menghalang bahan pencemaran ini daripada disebarkan secara meluas. Apa yang berlaku ketika jerebu ialah bahan pencemaran ini tertumpu kepada sesuatu kawasan dan ini secara umumnya mengakibatkan pemandangan yang kurang jelas dan masalah kesihatan juga menjadi satu ancaman.
Punca-punca jerebu
      Terdapat dua punca yang sering menjadi sebab utama kepada bencana jerebu iaitu jerebu semulajadi dan jerebu buatan manusia. Salah satu punca jerebu buatan manusia ialah pembakaran hutan. Segelintir masyarakat gemar melakukan aktiviti pembakaran hutan secara berleluasa sehingga proses untuk pemadaman api kebakaran mengambil masa yang lama. Asap-asap dari pembakaran akan terus ke udara dan berkumpul. Maka akan terjadi jerebu yang tebal. Selain itu, antara punca-punca jerebu semulajadi adalah cuaca kering yang berpanjangan atau kemarau. Dalam keadaan begini, zarah-zarah di udara akan terperangkap dan tidak dapat menyebarkan udara yang sihat.
Kesan-kesan bencana jerebu
    Antara kesan-kesan masalah jerebu ini adalah jarak penglihatan terhad. Jarak penglihatan kita akan menjadi semakin terhad. Ini kerana jerebu telah menghalang pancaran matahari untuk terus memancarkan cahaya terus ke bumi. Ia sekaligus menghadkan penglihatan kita yang berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Bahkan ia turut membuatkan mata terasa pedih dan berair kerana di sekeliling kita dipenuhi dengan gas beracun dan berbahaya untuk kesihatan. 
    Selain itu, sesak nafas yang teruk juga menjadi kesan paling utama kerana molekul-molekul yang terdapat pada udara mempunyai gas-gas beracun yang tidak elok untuk disedut oleh manusia. Keadaan ini memberikan kesan yang lebih teruk kepada sesiapa yang mengalami masalah asma. Mereka mungkin akan mengalami masalah sesak nafas. 
    Yang terakhir, hidung akan berair dan sentiasa bersin. Hidung adalah saluran utama saluran pernafasan pada manusia. Namun jika terlalu banyak udara berbahaya di sekeliling kita ketika jerebu, dikhuatiri ia akan mengakibatkan hidung tidak mampu menapis udara-udara beracun, seterusnya menyebabkan hidung berair sehingga mendatangkan selesema dan juga bersin.
Langkah-langkah yang perlu diatasi
Antara langkah-langkah yang perlu dititikberatkan adalah:
1. Sentiasa memakai penutup hidung(mask), terutama yang menaiki motosikal kerana terdedah dengan udara kotor dan juga berbahaya. Dengan memakai penutup hidung, dapat menghindarkan diri dari menyedut udara yang tidak sihat.
 2. Kepada sesiapa yang menghidapi penyakit batuk dan selesema, batuk, asma, sakit mata, kesesakan nafas, sakit paru-paru atau sakit jantung yang kronik, dinasihati supaya anda segera pergi ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau langkah pencegahan kerana mudah terdedah kepada simptom jerebu. Kita juga perlu sentiasa ke klinik untuk mencegah penyakit yang tidak diingini.
 3. Kurangkan melakukan aktiviti luaran. Risiko kesihatan anda terjejas adalah tinggi dan anda disarankan menghabiskan masa duduk di rumah atau pejabat sahaja. Terutama kepada kanak-kanak ataupun pelajar
 4. Amalkan minum air putih dengan kuantiti yang banyak, iaitu sebanyak 8 gelas air mineral sehari. Ia bagi memastikan air terus membekalkan oksigen di dalam badan.








Selasa, 20 Oktober 2015

Punca kemalangan masa kini

Di kaca televisyen, siaran berita sering memaparkan kejadian-kejadian kemalangan yang ngeri dan membawa maut. Setiap hari, ada sahaja kejadian kemalangan di negara kita. Tidak termasuk kemalangan yang tidak disiarkan di televisyen, kemungkinan jumlahnya cukup ramai.  Kita sebagai pemandu amat khuatir dengan kejadian sebegini. Kadang kala kita telah memandu dengan cermat tetapi kesilapan pengguna jalan raya yang lain, kita telah terbabit bersama.

Antara punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu sendiri. Kebanyakan kes kemalangan jalan raya berlaku disebabkan sikap pemandu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Kebanyakan pemandu lebih gemar untuk memandu dengan laju dan tidak memikirkan tentang keselamatan penumpang tetapi ingin merasai keseronokkan semata-mata. Terdapat juga pemandu yang suka melanggar lampu isyarat merah di persimpangan jalan dan memberhentikan kenderaan di tempat yang dilarang.Ini akan menyusahkan pengguna jalan raya dan lain dan akan menyebabkan pengguna yang lain berasa marah.

Selain itu, keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Kenderaan yang hendak digunakan di jalan raya sewajarnya diselenggara sekurang-kurangnya enam bulan sekali.Kebanyakan kos kemalangan berlaku disebabkan sistem brek yang gagal berfungsi dengan baik. Terdapat juga kemalangan berlaku disebabkan tayar kenderaan meletup akibat tayar tersebut rosak atau anginnya berlebihan. Oleh itu, pengguna jalan raya perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk menyelenggara kenderaan mereka. Pengguna juga tidak perlu terlalu berjimat sehingga sanggup menggadaikan nyawa diri sendiri dan orang tersayang.

Ketiga, faktor cuaca juga boleh menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan jalan raya. Di Malaysia, cuaca hujan sering menyebabkan jalan raya basah dan licin. Dalam keadaan yang sedemikian, kemalangan jalan raya banyak berlaku khususnya dl lebuh raya kerana pemandu tidak sempat membrek apabila kenderaan di hadapan tlba-tiba memperlahankan kenderaannya. Hujan yang turun juga boleh menyebabkan pemandangan pemandu kabur dan terhad. Sewajarnya pengguna jalan raya berhati-hati apabila memandu dalam keadaan cuaca hujan dan jalan raya licin dan sentiasa mematuhi peraturan di jalan raya.

Kesimpulannya, kita sebagai pengguna jalan raya perlulah sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan tidak mementingkan diri ketika memandu kerana kita boleh menjadi penyebab kepada kejadian kemalangan yang juga boleh melibatkan nyawa seseoang. Kita juga perlulah sentiasa mengikut arahan-arahan papan tanda di jalan raya agar kita tidak terbabit dalam kemalangan ini.

Pembenihan awan

Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan masalah jerebu yang semakin hari semakin teruk. Hal ini amat merisaukan orang sekeliling kerana jerebu amat berbahaya dan boleh mendatangkan penyakit seperti sesak nafas, batuk, lelah dan sebagainya. Sebagai inisiatif oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan, mereka telah menggunakan kaedah pembenihan awan untuk mengurangkan masalah jerebu ini.
Pembenihan awan adalah proses bagi menghasilkan hujan berikutan cuaca panas, jerebu atau lain-lain yang terdesak memerlukan hujan bagi mengurangkan masalah udara.
           Terdapat tiga cara yang dilakukan untuk menghasilkan pembenihan awan iaitu
Pembenihan dinamik awan.
- Arus udara menegak terdorong dan lebih banyak air melalui awan. Hal ini membawa pada lebih banyak hujan. Kaedah ini mempunyai 11 peringkat yang berbeza yang terlibat dan setiap kesalahan di salah satu peringkat boleh merosakkan seluruh proses.
Pembenihan awan higroskopik.
-Bahan letupan dan flare digunakan untuk menyebarkan garam melalui bahagian bawah awan. Air tertarik pada garam dan siaznya membesar lalu turun ke bawah sebagai hujan. Teknik ini masih memerlukan banyak kajian.
Pembenihan awan statik.
-Bahan kimia iaitu silver iodide disebarkan ke dalam awan. Kelembapan yang terdapat dalam awan terkondensasi di sekitar kristal. Hal ini membuat awan lebih berkesan dalam penyebaran hujan di tempat – tempat tertentu. 
Antara kelebihan pembenihan awan ini ialah mengurangkan kekeringan atau kemarau yang berpanjangan. Kedua, meningkatkan paras sumber air bersih untuk keperluan isi rumah.
Ketiga, mengatasi masalah fenomena ‘hailstones’ (hujan ais batu) mengurangkan kerosakan.
menghentikan pembentukan ribut taufan utama seterusnya mengurangkan impak ribut yang terjadi. Keempat, membersihkan udara daripada zarah terampai seperti asap dan debu yang membentuk jerebu.

Kesimpulannya, pembenihan awan ini adalah cara yang terbaik yang telah dilakukan bagi mengurangkan masalah jerebu di negara kita yang sentiasa berlarutan. Dan diharapkan masalah jerebu ini dapat diatasi dengan cepat agar kesihatan masyarakat kita terjamin.

Sabtu, 3 Oktober 2015

Gejala rokok elektronik

Seringkali dikaitkan tentang sesuatu gejala isu semasa yang sering diperkatakan oleh masyarakat di Malaysia iaitu mengenai rokok elektronik atau dipanggil "vape".  Gejala hisap rokok elektronik atau hisap vape di Malaysia terus mendapat liputan media hari ini apabila pendapat pakar-pakar dikemukan di media arus perdana selepas melihat trend hisap rokok elektronik atau hisap vape semakin menjadi-jadi. Bukan sahaja golongan yang berhasrat berhenti merokok bahkan kalangan gadis serta budak-budak sekolah pun tidak terlepas peluang apa yang dipanggil golongan muda sebagai trend masa kini. 
Definisi rokok elektronik adalah satu alat elektronik yang mensimulasi atau menyerupai cara merokok tanpa perlu perokok menyedut asap rokok yang berbahaya. Setiap kali rokok elektronik disedut, cip komputer elektronik yang dikuasakan oleh bateri akan menghidupkan atomizer yang kemudian akan memanaskan cecair yang akan menghasilkan wap. Terdapat pelbagai jenis jenama bagi setiap botol penyebut itu. Kepada pengemar rokok elektronik, mereka sanggup berhabis wang untuk membeli pelbagai jenis perisa dan jenama bagi rokok elektronik mereka agar kelihatan menarik.
Selain itu, kita juga sering dihebohkan dengan penghisap rokok elektronik sering menggangu orang awam dengan menghembuskan asap-asap mereka di merata tempat tanpa memikirkan tentang orang sekeliling terutama golongan tua dan bayi. Terutamanya di kedai makan yang sering dipenuhi oleh masyarakt. Jika kita menegur, mereka mula melenting dan memarahi kita. Hal ini akan menyebabkan masyarakat sering memandang serong kepada pengguna-pengguna rokok elektronik ini.
Kita  juga sudah banyak kali terdengar  bahawa rokok elektronik ini lebih bahaya daripada rokok asli kerana di dalam rokok elektronik terkandung jenis nikotin yang bervariasi, iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol, dan gliseren yang apabila dipanaskan akan menghasilkan nitrosamine dan larutan nitrosamine ini nantinya kan menjadi penyebab terjadinya kanser. Rokok elektrik ini amatlah bahaya kepada tubuh badan kita kerana akan mengundang banyak penyakit yang mungkin sukar untuk dirawat.  
Kesimpulannya, rokok elektronik atau vape ini amatlah memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi kepada golongan remaja pada masa kini kerana gejala rokok ini hanyalah membazirkan wang ringgit dan lebih mudah untuk mendapat penyakit seperti kansur paru-paru, sesak nafas dan penyakit-penyakit yang kronik. Kita sebagai manusia yang boleh berfikir, seharusnya memikirkan kebaikan dan keburukan terhadap diri kita sendiri agar tidak menyesal di lain hari.